IPOH – Tiga ekor anak kucing dalam usia dua bulan ditemui mati di tepi jalan dipercayai digonggong anjing liar di sebuah kawasan perniagaan yang dikatakan berlaku di Taman Sri Kurau, Bercham dekat sini.
Ketiga-tiga anak kucing tersebut yang berwarna oren bergelimpangan dengan kesan gigitan pada tubuh.
Kejadian tersebut dipaparkan pada laman Facebook Ipoh-ipoh Ajer 2.0 menerusi hantaran pelayar dikenali sebagai Izzaty Ismail yang mendakwa seorang peniaga di kawasan tersebut malam tadi.
Menerusi paparan tersebut, dia memberitahu menemui tiga ekor anak kucing semasa datang ke gerainya untuk membuka perniagaan dan merasa terkejut serta sedih.
Katanya, ketiga-tiga sibulus malang itu dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab berdasarkan penemuan sebuah kotak tidak jauh dari situ.
“Assalamualaikum, saya just nak share ngan korang hari ini pagi saya nak pergi meniaga tengok ada anak kucing bersepah-sepah atas jalan dekat dengan tempat saya meniaga tu.
“Semua dah mati, sedihnya tengok dorang mati dalam keadaan macam tu. Saya syak ada orang buang kucing-kucing tu dekat sini sebab ada kotak kat tepi pokok tu.
“Just saya nak cakap pada sesiapa yang buang kucing tu tolonglah jangan buang merata-rata, kesian dorang, dorang pun nak hidup juga,” kata penghantar kiriman tersebut.
Dia juga memohon kepada pelaku tersebut agar mempunyai rasa simpati untuk tidak membuang anak kucing sedemikian.
“Sekarang kucing pun dah mati kena gigit anjing, sedih sangat,” katanya.
Sehingga malam tadi hantaran tersebut mendapat komen lebih 500 pelayar yang rata-ratanya melahirkan rasa marah terhadap tindakan pelaku tidak bertanggungjawab tersebut. – K! ONLINE.