PETALING JAYA – Tindakan sebahagian warga asing menyorok di timbunan besi bagi melarikan diri daripada pihak berkuasa bagaimanapun gagal apabila mereka berjaya dicekup.
Taktik licik itu dikesan semasa serbuan Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah kilang pelupusan besi di Meru, Klang.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menahan seramai 229 warga asing yang sedang bekerja di kilang tersebut.
Operasi itu adalah salah satu siri Ops Patuh yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa agensi berkaitan.
“Dalam operasi itu, kita menahan seramai 229 lelaki warga asing terdiri daripada 99 warga India, Bangladesh (88), Pakistan (33), Myanmar (5), Indonesia (3) dan seorang warga Nepal berusia 22 hingga 45 tahun.
“Selain tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kilang ini turut melakukan kesalahan menggunakan tenaga pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Khairul Dzaimee, kilang tersebut dikompaun RM10,000 oleh polis dan RM20,000 oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kerana gagal mematuhi SOP PKP.
Kesemua tahanan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929