fbpx

‘Saya tidak mampu ajar anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan Issey sedang menenangkan Hamdan ketika meluahkan perasaannya baru-baru ini.

PETALING JAYA – “Saya tidak pandai, saya tidak boleh ajar anak saya, harap mereka tidak jadi macam saya,” jelas seorang pemanggil yang meluahkan perasaannya ketika membuat panggilan ke konti radio Suria FM baru-baru ini.

Pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamdan itu meluahkan isi hatinya yang tidak mampu untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada lima anaknya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika ini.

Suasana ceria bertukar hiba apabila pemanggil itu mendedahkan dia tidak berpendidikan.

“Saya sudah usaha sebaik mungkin, keluar cari rezeki kepada keluarga. Saya sedih apabila anak mengatakan saya tidak boleh mengajar mereka ketika PdPR ketika ini,” jelasnya.

Kisah pemanggil ini kemudian tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dan turut mendapat komen daripada orang ramai mengenai kesusahan yang dialami.

“Ramai yang susah. Terharu apabila penyampai pandai menenangkan pemanggil itu.

“Lihat balik bagaimana orang susah terutama di kampung yang tiada peranti untuk anak-anak yang belajar di rumah, faham keadaaan rakyat ketika ini,” ujar Fakhri Nazim.

Sementara itu, penyampai yang mengendalikan segmen Pagi di Suria, Issey Fazlisham berkata, suasana di dalam konti bertukar hiba ketika pemanggil tersebut hubungi mereka pada hari tersebut.

“Saya beri sepenuhnya masa kepada Hamdan itu meluahkan perasaannya. Memang luluh hati apabila mengetahui kesusahan orang di luar sana.

“Paling terkejut apabila dia nyatakan yang dia tidak pandai untuk mengajar anak-anaknya ketika sesi PdPR dan tidak mampu untuk menyediakan kemudahan untuk anaknya belajar dengan secukupnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI