JOHOR BAHRU – Polis Johor mengetatkan kawalan di pusat bandaraya ini susulan operasi Black Democracy yang dijadualkan berlangsung bermula 12 tengah hari di beberapa lokasi di seluruh negara.
Tinjauan yang dibuat hari ini di sekitar bandar raya ini mendapati beberapa sekatan jalan raya (SJR) ditambah di beberapa laluan utama selain menutup beberapa laluan di lokasi strategik.
Tinjauan di hadapan pintu gerbang utama Istana Bukit Serene di sini mendapati terdapat beberapa anggota polis ditempatkan berkawal di setiap susur masuk ke kawasan berkenaan.
Setiap kenderaan yang melalui laluan itu diperiksa dan juga tidak dibenarkan berhenti di kawasan pekarangan istana berkenaan.
Laluan ke Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Negeri Johor dari Jalan Dhobi juga turut dikawal ketat dengan terdapatnya tiga SJR yang dibuat.
Tinjauan juga mendapati hanya kenderaan yang mempunyai temujanji vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) Johor sahaja dibenarkan melalui laluan itu.
Kehadiran polis juga dilihat di sepanjang laluan ke bandaraya ini.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak akan beri muka kepada individu terlibat sebaliknya terus mengambil tindakan terhadap mereka.
Tegas beliau, Polis Johor telah menggerakkan elemen keselamatan bagi memastikan tidak ada insiden melibatkan Black Democracy diadakan di negeri ini.
“Kita akan memantau serta mengambil tindakan sekiranya ada mana-mana individu atau kumpulan yang berkumpul di lokasi ditetapkan. kita akan terus ambil tindakan, tiada kompromi.
“Siapa yang berkumpul kita akan kompaun, ini zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kenapa mesti nak berkumpul? Duduk rumahlah,” katanya ketika dihubungi.- K! ONLINE.