KANGAR – Perlis membenarkan solat berjemaah dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid di seluruh negeri ini bermula esok.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keputusan itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di negeri ini yang semakin terkawal serta pematuhan SOP oleh rakyat.
“Kehadiran para jemaah di masjid dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid dibenarkan bermula waktu subuh esok sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan.
“Kebenaran ini hanya terpakai di masjid seluruh negeri Perlis sahaja manakala sebarang aktiviti di surau kekal ditangguhkan,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Titah Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, jemaah hendaklah terdiri dalam kalangan anak kariah sahaja yang berusia antara 12 hingga 59 tahun.
“Bagi jemaah berusia 60 tahun ke atas adalah dibenarkan dengan syarat lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19,” titah baginda.
Baginda bertitah, sebagai langkah kawalan, mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas negeri adalah tidak dibenarkan hadir selama dua minggu.
“Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin,” titah Raja Muda Perlis. – K! ONLINE