fbpx

Perancis memang layak untuk kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERANCIS terpaksa menerima hakikat terpaksa pulang awal pada saingan Euro kali ini selepas tewas kepada Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi semalam. – AFP

PARIS – Legenda Perancis, Patrick Viera enggan memberikan sokongan atau membela nasib pasukan itu selepas mereka gagal meneruskan kemaraan pada saingan Euro 2020 apabila tewas kepada Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti 4-5 awal pagi semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Nasional, Bucharest, Romania itu, kedua-dua pasukan terikat 3-3 untuk tempoh 120 minit aksi sebelum ia terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang akhirnya menyaksikan juara dunia itu tersingkir.

Menurut Viera, sikap dan mentaliti yang ditunjukkan oleh keseluruhan pemain dalam pa­sukan Les Bleus sepanjang perlawanan itu menunjukkan bahawa Switzerland layak untuk berada di saingan suku akhir.

“Hari ini kita perlu berikan pujian kepada pasukan Switzerland kerana mereka mempunyai keinginan dan keyakinan yang kuat untuk memenangi perlawanan. Saya percaya pasukan yang terbaik sahaja boleh memenangi aksi sebegini.

“Saya sangat kecewa dengan sikap yang ada pada pemain. Saya fikir ini adalah sebuah pasukan Perancis yang paling teruk. Mereka tidak ada semangat kebersamaan dan tidak bermain sebagai satu pasukan. Oleh itu, mereka memang tidak layak untuk mara.

“Ada masa mereka bermain dengan baik kerana kualiti individu pemain tetapi secara kolek­tifnya, Switzerland jauh lebih sempurna,” katanya.

Sementara itu, bekas rakan sepasukan Viera, Bixente Lizarazu juga bersetuju dengan pendapat tersebut apabila menyifatkan Perancis turun dengan sebuah pasukan yang tidak seimbang malah beraksi di bawah tahap sebenar.

“Mereka gagal mendominasi perlawanan. Separuh masa pertama Perancis seakan hilang dalam perlawanan ini tetapi pada awal separuh masa kedua mereka tampil lebih baik sebelum kembali hilang arah.

“Saya mahu memuji semua pemain Switzerland, mereka membuktikan kekuatan mental yang mereka miliki. Mereka kekal dengan gaya mereka sehingga hujung perlawanan,” jelasnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI