KUANTAN – Seramai 100 jemaah dibenarkan mengerjakan solat Jumaat pada satu masa di Masjid Negeri dan daerah di Pahang.
Perkara itu diumumkan melalui sebaran mengenai prosedur operasi standard (SOP) terbaru bagi aktiviti ibadat dan solat Jumaat di masjid dan surau dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD) bagi negeri ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr. Zulkifle Ali berkata, meskipun hanya 100 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat, pihak pengurusan masjid dan surau dibenarkan menambah bilangan jemaah solat dengan mengemukakan permohonan dan mempunyai keupayaan kawalan melebihi jumlah 100 jemaah.
“Kaedah kehadiran jemaah adalah mengikut syarat ditentukan pihak pentadbiran masjid, manakala jemaah pula hendaklah terdiri daripada kalangan ahli kariah rakyat tempatan bermastautin sahaja.
“Anggota keselamatan beruniform dan pemantau daripada pihak berkuasa agama antaranya JAIP, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Jabatan Mufti Negeri Pahang tidak termasuk dalam jumlah pertambahan jemaah dimohon,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi aktiviti solat Jumaat di masjid kariah, seramai 50 jemaah dibenarkan, namun pengurusan masjid dibenarkan menambah bilangan jemaah solat dengan mengemukakan permohonan dan mempunyai keupayaan kawalan.
Katanya, untuk solat Jumaat di surau yang mendapat kebenaran melaksanakan solat Jumaat, jumlah asas jemaah dibenarkan adalah seramai 12 orang, namun pengurusan surau dibenarkan menambah bilangan jemaah dengan mengemukakan permohonan kepada pihak kami.
“Jemaah untuk masjid kariah dan surau kebenaran Jumaat juga haruslah terdiri daripada warga Malaysia yang bermastautin sahaja.
“Bagi solat fardu di Masjid Negeri, daerah, kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau dibenarkan, hanya 12 jemaah dibenarkan pada satu masa,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929