PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh mungkin berlanjutan lebih lama berdasarkan kepada pengumuman Bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kelmarin.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pemberian itu merupakan tanda kerajaan sudah bersedia untuk PKP yang mungkin berlarutan.
“Pengumuman Pemulih adalah tanda PKP akan berlanjutan. Kalau ada apa-apa yang berlaku, saya minta rakyat juga turut bersedia.
“Namun saya berharap agar perkara itu tidak berlaku kerana bimbang rakyat semakin sengsara walaupun bantuan telah disalurkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, bantuan itu tidak menjamin mampu membantu rakyat secara total kerana apa yang menjadi fokus kerajaan ialah mahu mengurangkan dan melandaikan jumlah kes positif harian.
Menurut Zainal Ariffin, jika kes berkurangan, rakyat akan senang dan tidak mengharapkan bantuan selain dapat menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.
“Melihatkan kepada cara menangani kes ketika ini, ramai pakar termasuk dalam bidang ekonomi menjangkakan ia sukar untuk dilandaikan. Saya berpendapat negeri tertinggi jangkitan seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan perlu diarahkan menjalani lockdown,” katanya.
Ujar Zainal Ariffin, negeri kurang jangkitan seperti Perlis, Terengganu, Labuan serta Putrajaya perlu dibuka sektor ekonominya bagi menjadikannya menjadi seimbang.-K! ONLINE