SELAYANG – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menarik lesen perniagaan sebuah kilang plastik di sekitar Sungai Buloh selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kilang terbabit turut diarah tutup serta merta dan dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 di bawah peraturan 17 P.U 278/2021 Akta 342 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (pindaan) 2001.
“Tindakan ini dikenakan selepas kita mendapati ia beroperasi tanpa kebenaran MITI dan bukan berada dalam kategori perkhidmatan penting.
“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, MPS telah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari di pasar awam, kilang, bengkel dan kawasan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sepanjang sebulan melakukan pemantauan, sebanyak 1,683 premis dan 855 penjaja telah dilawat dan 676 premis telah diperiksa.
“Kita juga telah mengeluarkan 90 notis, 68 kompaun dan 40 premis telah diarahkan tutup. Amaran lisan juga telah diberikan kepada peniaga untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kita akan terus melakukan pemantauan untuk memastikan setiap peraturan dan arahan dipatuhi. MPS juga ingin mengingatkan orang ramai agar terus memberi kerjasama dalam mengekang penularan wabak Covid-19,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929