KUALA LUMPUR – Seorang lelaki gelandangan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran beberapa buah kenderaan di sekitar Daerah Sentul di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada 28 Jun lalu, kira-kira pukul 11 malam pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori di Jalan Ambong 1, Kepong Baru.
“Kira-kira satu jam kemudian iaitu pada pukul 12.10 malam, satu lagi laporan kebakaran kenderaan diterima yang juga melibatkan sebuah lori di Jalan Mergastua, Kepong Baru.
“Kedua-dua kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh anggota bomba dan masing-masing melibatkan kerugian sebanyak RM10,000 dan RM120,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.
Menurut Eng Lai, kebakaran kedua mengakibatkan kerugian yang besar kerana di dalam lori tersebut terdapat beberapa perkakasan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk yang akan dihantar kepada pelanggan keesokan harinya.
“Hasil risikan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sentul telah berjaya menangkap seorang lelaki dianggarkan berusia 40-an kira-kira pukul 3 pagi semalam di Jalan Besar Kepong.
“Suspek merupakan seorang gelandangan serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain dipercayai mempunyai mempunyai masalah mental dan dia juga menepati ciri-ciri individu seperti yang dirakamkan oleh televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi,” jelas beliau.
Tambah Eng Lai, turut dirampas daripada suspek adalah sebuah basikal, dua botol arak masakan, pemetik api serta 10 bungkus penyedut minuman yang dipercayai dijadikan sumbu dalam kes kebakaran ini.
“Semakan mendapati suspek terlibat dalam kebakaran tiga buah lori dan empat buah kereta sejak 15 Jun lalu dan pemilihan dibuat secara rawak serta tiada motif.
“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 5 Julai depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan lelaki itu juga akan dibawa ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk diambil cap jari bagi menyemak identiti sebenarnya,”katanya.
Tambah Eng Lai, dengan penahanan suspek, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes kebakaran kenderaan yang berlaku dalam tempoh dua minggu ini. – K! ONLINE.