PETALING JAYA – Lebih 7.8 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di seluruh negara di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, setakat semalam sebanyak 7,829,912 dos vaksin diberikan meliputi 5,610,911 adalah penerima dos pertama manakala 2,214,001 pula bagi dos kedua.
“Sementara itu sebanyak 231,733 dos vaksin Covid-19 telah diberikan semalam,” katanya dalam satu hantaran di laman Twitter hari ini.
Melalui info grafik yang dikongsi turut menunjukkan, lima negeri yang mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor (287,127 orang), diikuti Sarawak (246,259), Johor (232,239), Perak (201,040) dan Sabah (188,690). – K! ONLINE