KUALA LUMPUR – Seorang lelaki patah tangan kanan selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan kerana dipercayai tersalah masuk lorong di Jalan Kerinchi di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian pada pukul 10.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki warga emas dan motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Pemandu kereta dari arah Jalan Pantai Permai memasuki laluan bertentangan dan memandu sejauh 100 hingga 150 meter sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang berada di lorong kanan.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 42 tahun itu terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, pemandu kereta yang bekerja sebagai penyelia pembersihan itu mendakwa tidak perasan telah memasuki jalan bertentangan dan hanya menyedarinya selepas kemalangan berlaku.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal yang menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor itu pula patah tangan kanan dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
“Siasatan berhubung kejadian disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.
Terdahulu, satu rakaman video tular di platform media sosial memaparkan keadaan sebuah kereta yang kemek di bahagian hadapan dan seorang lelaki terbaring di atas jalan raya yang mendakwa telah berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta yang memandu melawan arus. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929