GUA MUSANG – Sepasang suami isteri terpaksa tinggal di dalam stor sebuah kedai di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Chalil di sini selepas tidak mampu menyewa rumah sejak lima tahun lalu.
Farhana Ibrahim, 27, bersama suaminya, Mohammad Faizal Mohd. Hashim, 32, yang belum dikurniakan cahaya mata menumpang teduh di stor milik rakan sekampungnya sejak mereka berkahwin.
Katanya, dia tidak mahu menumpang rumah ibu bapanya kerana ramai adik-beradik lain yang sudah berkeluarga tinggal di situ.
“Sebelum ini, saya menyewa stor berkenaan namun tuan kedai bersimpati dan memberi kami tinggal secara percuma.
“Kehidupan kami sekeluarga umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Suami hanya mengambil upah kerja kampung dan mengait kelapa sawit dengan pendapatan RM500 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Farhana berkata, stor yang dibina daripada kayu dan zink itu sememangnya tidak selesa kerana di ruangan yang sama kami turut tidur dan makan.
Tambahnya, dapur dan bilik air juga sudah uzur selain berlantaikan tanah.
“Kami sudah memohon bantuan rumah generasi kedua daripada Kesedar, namun sehingga kini masih belum menerimanya.
“Kami berharap ada pihak yang dapat menghulurkan bantuan tempat tinggal,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin ketika dihubungi maklum mengenai kesempitan hidup mereka dan berjanji akan menyalurkan bantuan kepada pasangan suami isteri itu.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Farhana di talian 011-2503 5400.