PETALING JAYA – Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice melahirkan rasa kecewa apabila seorang wakil rakyat dan sekumpulan individu dipercayai berkumpul makan durian di sebuah kebun.
Caprice yang kini berada di Cairo, Mesir bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin menerusi satu video mempersoalkan, mengapa seorang wakil rakyat sanggup berbuat demikian pada saat rakyat Malaysia kian menderita disebabkan pandemik Covid-19.
“Saya tak fahamlah apa sudah jadi dengan kita punya pemimpian Islam hari ini. Macam mana seorang wakil rakyat tidak boleh faham beban rakyat.
“Hari ini, ramai rakyat Malaysia berasa terdesak. Ada yang fikir nak bunuh diri dan ada yang sudah bunuh diri. Ada yang tiada kerja, ada yang tiada duit,” katanya menerusi satu muat naik video dalam Instagram.
Caprice atau nama lengkapnya, Ariz Ramli, 33, berharap mereka yang terlibat menyedari tindakan salah yang telah dilakukan.
“Saya bukan nak pertikai kerajaan. Tidak. Saya guna platform (media sosial) untuk bagi mereka semua sedar.
“Sambil korang makan durian, ada rakyat Malaysia yang tak boleh makan langsung,” ujarnya sinis dalam video tersebut.
Terdahulu, seorang wakil rakyat dan sekumpulan individu dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) fasa satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan satu video yang tular baru-baru ini.
Video berdurasi 13 saat itu memaparkan seorang wakil rakyat dan sekumpulan individu berkumpul dan dipercayai seronok menjamu durian di sebuah kebun di Batu Pahat, Johor. – K! ONLINE