SEBERANG PERAI – Tindakan seorang penjaja di Bukit Mertajam di sini mengibarkan bendera putih di hadapan rumahnya sebagai tanda memerlukan bantuan menerima respon segera daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hari ini.
Menurut catatan di laman sosial Facebook, Steven Sim berkata, lelaki yang dikenali sebagai Ah Soon itu mengadu tidak mampu membayar sewa gerai dan rumah serta bil air dan elektrik sejak beberapa bulan lalu apabila tidak dapat berniaga kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Steven Sim, lelaki itu terpaksa menjual mesin basuh dan kipas angin di rumahnya demi meneruskan hidup sehingga hampir berputus asa.
“Dia bukannya tidak mencuba, malah berusaha untuk bangkit semula selepas tersungkur berkali-kali. Tapi PKP berulang-ulang menyebabkan dia buntu. Semua usaha tidak menjadi dan sudah penat.
“Saya bagitau Ah Soon, jangan berputus asa. Hidup ini ada naik dan turun, tapi harapan tetap ada. Setidak-tidaknya, ada orang nampak bendera putihnya dan saya telah datang,” katanya di Facebook.
Menurut Steven Sim, beliau telah membantu Ah Soon meringankan bebannya termasuklah mendapatkan gerai baharu untuk lelaki itu berniaga. – K! ONLINE