fbpx

Ahli perniagaan didakwa kes smurfing, ubah wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazni ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan terlibat dalam aktiviti penstrukturan transaksi atau smurfing dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM470,000 pada 2018.

Tertuduh, Mazni Abu Bakar, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Bagi pertuduhan penstrukturan transaksi, wanita itu didakwa dengan niat mengarahkan seorang individu untuk menstrukturkan empat transaksi berjumlah RM238,575.35.

Ia bagi mengelak kehendak pelaporan seperti peruntukkan Seksyen 14(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke dalam akaun CIMB milik syarikatnya, Sasrestu Sdn. Bhd.

Kesalahan dilakukan di Cimb Bank Berhad cawangan Taman Melawati di sini pada 16 Januari hingga 21 Mei 2018 di bawah Seksyen 4A(1) AMLATFPUAA 2001.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih lima kali ganda jumlah atau nilai agregat transaksi itu atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Bagi empat lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Mazni didakwa memindah, mengguna dan melupuskan wang RM233,352,95 yang merupakan hasil aktiviti haram antaranya pembelian sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard dan pembayaran cukai kepada kastam.

Kesalahan dilakukan pada tempat sama antara 20 Februari hingga 18 September 2018 di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM300,000 bagi kesemua pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam, K.Theivendran merayu diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan jumlah yang dicadangkan tidak munasabah, selain tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai ini.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI