PETALING JAYA – “Itu zaman jahiliah dia, ketika itu dia mungkin buta hati.”
Itu pengakuan Bella Astilah, 27, berhubung sebuah video memaparkan kelakuan tidak senonoh seorang lelaki di dalam bilik sambil menunjukkan bahagian kemaluan sebagaimana didakwa netizen persis suaminya, Aliff Aziz.
Pemilik nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah itu bagaimanapun tidak mahu mempedulikan sejarah lampau, waima apa pun yang telah dilakukan oleh suaminya sebelum ini.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu juga yakin, video berkenaan mungkin dirakamkan ketika Aliff masih jahil tentang agama.
“Apa apa pun yang sudah jadi di masa lepas saya tak nak tahu dan tak nak tengok. Itu zaman jahiliah dia, pada masa itu hati dia mungkin buta,” jawab Bella menerusi pesanan Whatapps kepada Kosmo! Online.
Umum tahu, Bella dan Aliff kembali bersatu pada Disember tahun setelah dua tahun lelaki penuh sensasi itu tersangkut di Singapura ekoran pelbagai kontroversi dan pertuduhan di mahkamah.
Mempertahankan segala cemuhan dan penghinaan netizen terhadap penyanyi lagu Sayang Sayang itu, kata Bella, Aliff kini sedang mencuba yang terbaik untuk perlahan-lahan berubah ke arah kebaikan, namun dalam masa sama, masih ada yang ingin menjatuhkan semula namanya.
“Sekarang dia sedang mencuba yang terbaik untuk berubah ke arah kebaikan secara perlahan-lahan tetapi masih ada yang ingin menjatuhkannya. Barangkali ada pihak tidak senang dengan kebahagian dan perubahan yang sedang dilalui Aliff sehingga sanggup berbuat sedemikian,” kata Bella.
Terdahulu sejak Sabtu lalu, laman sosial Twitter kecoh dengan penyebaran dua video yang memperlihatkan aksi tidak senonoh seorang lelaki mirip penyanyi kelahiran Singapura itu.
Bella yang juga kakak kepada penyanyi Didi Astillah itu mengesahkan, benar lelaki dalam video berkenaan ialah suaminya. Dia bagaimanapun menegaskan akan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap masa depan suaminya.
“Sekarang apa yang jauh lebih penting kepada saya dan keluarga adalah dengan terus mendoakan serta memberikan sokongan 100 peratus terhadapnya,” katanya lagi.
Ditanya tentang keadaan dirinya, Bella memaklumkan dia kurang sihat dan telah dinasihatkan doktor supaya mendapatkan rehat sekurang-kurangnya dua minggu untuk kembali sihat seperti sediakala.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Tenang itu enggan menyatakan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Untuk rekod, Bella berkahwin dengan aktor yang terkenal menerusi drama Halalkan Hati Yang Ku Curi itu sejak 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Ayden Adrian, 3, dan Ara Adreanna, setahun. Mereka juga pernah bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali ‘ditangkap’ curang tetapi kembali rujuk ketika Bella masih dalam tempoh edah. – K! ONLINE