VANESSA REYNAULD, sepotong nama yang masih asing dalam industri hiburan tanah air walaupun sudah bergelar penyanyi seni sejak 2015 selepas muncul sebagai peserta program Ceria Popstar musim ketiga.
Mengambil masa hampir tujuh tahun untuk bersinar, Vanessa akhirnya mampu tersenyum lega selepas namanya kini mula meniti di bibir peminat muzik tanah air.
Penyanyi yang terkenal dengan imej rambut keriting itu menjadi bualan ramai selepas memukau dengan vokal hebat dalam program The Masked Singer Malaysia musim pertama tahun lalu.
Semakin mekar, pemilik nama lengkap Vanessa Ben Reynauld itu sekali lagi menambat hati ramai selepas muncul dengan dua single, Putus dan Rindu Separuh Nyawa duet bersama Naqiu.
Biarpun mengambil masa yang lama untuk memahat nama dalam industri seni, dia percaya Tuhan telah mengatur segala-galanya meskipun lambat untuk mengecap populariti, tidak seperti penyanyi baharu lain.
Penyanyi lambat panas, itu antara komen yang dilontar kepada Vanessa meskipun sudah menyanyi sejak berusia 15 tahun.
Lambat panas
Tidak menafikan kebenaran tersebut, dia akur dengan rezeki dan laluan karier yang sudah tertulis.
“Kepada mereka yang cakap saya penyanyi lambat panas, sebenarnya saya percaya dan hanya ikut sahaja dengan perancangan yang telah Tuhan ditentukan. Apa sahaja rezeki yang datang, saya terima.
“Sebenarnya saya juga sabar menanti tibanya waktu untuk betul-betul menyerlah dalam industri muzik.
“Betul juga apa yang mereka cakap, walaupun menyanyi sejak kecil tetapi populariti lambat menjadi milik saya. Apa pun saya percaya mungkin ada sebab mengapa perkara tersebut berlaku,” kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.
Tutur penyanyi berusia 21 itu: “Semua ini ada hikmah juga. Tuhan tahu bila saya sudah bersedia atau belum. Dahulu saya kurang keyakinan dan masih tercari-cari lagi identiti diri.
“Jadi, sekarang adalah masa yang tepat untuk saya mendakap populariti. Ibarat saya dilahirkan semula dan rezeki juga semakin bersinar,” ungkapnya.
Mengejar kualiti berbanding populariti, Vanessa tidak menolak bahawa kedua-dua perkara tersebut penting dalam mengukuhkan lagi kariernya.
“Untuk jangka masa panjang, kualiti akan menang berbanding populariti.
“Jika tiada bakat, bagaimana populariti hendak kekal? Jadi, saya tidak akan terlalu mengejar populariti,” katanya lagi.
Rezeki duet bersama Naqiu
Berbual lanjut tentang lagu Rindu Sepatuh Nyawa, dia lega kerana single duet tersebut berjaya mendapat tempat dalam hati peminat.
Ujarnya, sejak lagu tersebut menjadi runut bunyi drama bersiri dengan tajuk serupa lakonan Uqasha Senrose dan Shukri Yahaya, secara tidak langsung menaikkan namanya sebagai penyanyi.
“Selepas drama Rindu Separuh Nyawa disiarkan, nama saya menjadi sebutan ramai dan saya sangat terharu dengan penghargaan tersebut.
“Selain itu, saya berterima kasih kepada Naqiu kerana percayakan bakat saya dan sudi berduet dengan saya,” jelasnya.
Akui Vanessa, perasaan risau menebal dalam dirinya ketika mula-mula ditawarkan peluang untuk berduet bersama Naqiu
“Pada awalnya, saya sangat gemuruh untuk berduet dengan Naqiu kerana risau suara kami tidak boleh serasi tetapi selepas proses rakaman selesai, lagu itu menjadi sangat indah,” kongsinya teruja.
Pentas AJL
Ketika bakatnya dihujani pujian, ramai yang sudah meletakkan impian untuk melihat pemenang tempat kedua The Masked Singer Malaysia itu untuk beraksi di pentas gah, Anugerah Juara Lagu (AJL).
Ungkapnya, dia terharu dengan segala doa dan harapan yang diletakkan peminat terhadap dirinya.
“Tipulah kalau saya tidak pernah bermimpi untuk membuat persembahan atas pentas besar seperti AJL tetapi semua itu bergantung kepada rezeki.
“Tidak tahu bagaimana nak ungkap rasa syukur apabila ada yang mendoakan lagu ini layak ke AJL, doakan ya,” luah pelantun lagu Putus yang juga menjadi runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis itu.
Terdapat juga peminat membandingkan kerjasama dengan Naqiu seperti pasangan suami isteri, Ernie Zakri dan Syamel.
“Apabila dibandingkan begitu, saya sangat gembira kerana pujian tersebut seperti petunjuk projek duet kami berjaya.
“Untuk disamakan dengan Ernie dan Syamel, saya belum sehebat mereka tetapi doakan untuk raih kejayaan seperti pasangan itu,” tutupnya.