fbpx

Tiga hari terapung di laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima nelayan Indonesia yang hanyut selepas bot mereka karam diselamatkan TLDM petang semalam.

LUMUT – Lima nelayan Indonesia mengharungi pengalaman menakutkan apabila terapung selama tiga hari di laut setelah bot dinaiki karam akibat cuaca buruk di perairan Selat Melaka.

Kelima-lima mereka kemudian hanyut sehingga memasuki perairan Malaysia sebelum diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira pukul 2 petang semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut, dalam kenyataannya berkata, kelima-lima mereka diberi bantuan kemanusiaan oleh Stesen Luar Pantai TLDM di Pulau Jarak (Stesen Jarak TLDM) yang terletak kira-kira 35 batu nautika barat daya Pulau Pangkor.

“Kesemua awak-awak tersebut yang dipercayai telah berapung di laut selama tiga hari terlebih dahulu diselamatkan oleh bot nelayan tempatan sebelum dipindahkan ke Stesen Jarak TLDM.

“Semua mangsa berusia antara 25 hingga 30 tahun yang dalam keadaan lemah seterusnya diberi bantuan makanan dan minuman di Stesen Jarak TLDM,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka kemudian dipindahkan ke kapal KD Mahamiru yang sedang melaksanakan Operasi Benteng Laut dan juga Operasi Patkor Malindo sebelum diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Pangkor.

Jelas kenyataan itu, semua mangsa akan diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia untuk urusan dokumentasi selanjutnya.

Ujarnya, dalam melaksanakan tugasan di perairan negara, TLDM bersama-sama Maritim Malaysia akan sentiasa mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan pengguna maritim yang lain.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI