SERDANG – Taktik sindiket pengedaran dadah menghantar parcel (bungkusan) ke alamat yang tidak wujud ke negeri Sabah akhirnya terbongkar susulan penahanan seorang lelaki di sebuah premis syarikat kurier, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini pada 23 Jun lalu.
Lelaki tempatan berusia 18 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Subang Jaya bersama dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM720,000.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, ketika suspek ditahan, polis menjumpai ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 20.4 kilogram (kg) disimpan dalam kotak bersama dua helai t-shirt putih dan 20 bungkus teh Cina.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek berperanan menghantar parcel ke destinasi yang diarahkan ke Kota Kinabalu, Sabah melalui kurier menggunakan alamat yang tidak wujud.
“Ketiadaan alamat penerima menyebabkan pihak kurier terpaksa menghubungi nombor telefon penerima dan seterusnya penerima akan mengarahkan barangan itu dihantar ke lokasi yang akan diberitahu semula,” ujarnya ketika sidang akhbar di IPD Serdang, dekat sini hari ini.
Jelasnya, sindiket yang bergiat aktif di Selangor itu dipercayai menjalankan modus operandi tersebut sejak lima bulan lalu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita percaya suspek tahu berkenaan kegiatan terbabit dan suspek yang tidak bekerja itu menerima upah RM1,000 setiap kali penghantaran.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau, namun hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin,” ujarnya. – K! ONLINE