fbpx

Solidariti kempen #kibarbenderaputih selebriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN selebriti turut menyemarakkan kempen kibar bendera putih bagi membantu lebih ramai golongan terjejas.

PETALING JAYA – Solidariti kempen mengibarkan bendera putih di halaman rumah sekiranya tiada makanan atau perlukan bantuan yang tular sejak semalam turut menjadi perhatian ramai selebriti tempatan.

Masing-masing menunjukkan tanda sokongan menyebarkan misi kemanusiaan setempay sedemikian dalam usaha menggalakkan golongan yang benar-benar memerlukan dengan meletakkan tanda pagar #RakyatJagaRakyat dan #BenderaPutih.

Kempen yang dipercayai bermula sejak Isnin tersebut kini menjadi tular dalam media sosial dan masing-masing bersepakat menyeru insan-insan yang berdepan kesusahan bangkit memberi isyarat dengan mengibarkan bendera putih jika mahu untuk bersuara meminta bantuan.

Pengacara senior, Datuk Aznil Nawawi berharap golongan yang mengalami kesukaran dalam tempoh pandemik ini agar tidak berasa segan untuk mengibarkan bendera putih

“Jangan malu. #kitaadakita saja sekarang. Masih ada golongan yang tidak terbantu menerusi pengumuman tadi. #kibarbenderaputih. Mungkin dengan cara ini wakil rakyat boleh datang jenguk ,” katanya.

Pelakon, Sharnaaz Ahmad meneruusi MAMU Legacy dan Sharnaaz Ahmad TV pula mengambil inisiatif mengumpul barang keperluan untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

“Sesiapa yang nampak ada rumah yang mengibarkan bendera putih boleh hubungi kami. Rakan artis yang nak membantu juga boleh menghebahkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Pelakon, Hanez Suraya pula menyeru setiap individu berdepan kesukaran agar tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan mudarat atau kesedihan kepada insan tersayang.

“Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera putih, semoga ada yang datang. Tolong jangan ambil tindakan yang meremukkan hati orang tersayang. Kongsi masalah dengan orang lain,” ujarnya.

Penyanyi yang juga aktivisi kemanusiaan, Heliza Helmi turut menyatakan sokongan dengan menyifatkan kempen sebegitu sebagai cadangan bernas daripada rakyat bagi membolehkan lebih ramai golongan terjejas dapat dibantu.

“Kita tak mahu lagi mendengar berita tentang tindakan menyedihkan terpaksa dibuat akibat tekanan hidup. Jadi masyarakat juga mudah mengetahui siapa yang sebenarnya memerlukan bantuan,” luahnya.

Sementara itu penerbit dan pengacara, Hazeman Huzir, menegur ahli politik jangan mempolitikkan tanda pagar yang dibuat hasil inisiatif rakyat sendiri.

“Jangan sesiapa menunggang inisiatif yang asalnya disebarkan untuk kebaikan. Kalau nak, buat kempen sendiri jangan menunggang, belum apa-apa nampak kesan akibat dipolitikkan,” katanya.

Antara selebriti lain yang tidak ketinggalan menuar-uarkan kempen berkenaan dalam laman sosial masing-masing ialah Erra Fazira, Ajai, Nourul Depp, Sharifah Amani dan Deen Hot.Fm. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI