SHAH ALAM – Selangor akan menerima lebih 4 juta bekalan vaksin bagi kegunaan penduduk negeri ini pada bulan Julai.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata bekalan tersebut adalah tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Saya menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) pusat pagi ini. Selangor akan dapat 4,008,710 dos vaksin untuk bulan Julai.
“Bekalan tertinggi. Terima Kasih YB Menteri,” ciapnya dalam Twitter rasminya.
Beliau secara berseloroh juga menjelaskan akan hadir mesyuarat bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin tanpa gagal di samping meletakkan emoji senyum.
“Alhamdulillah ‘your nose’ tidak panjang tadi. Normal. Mohon maaf dunia akhirat @Khairykj,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan perkongsian Twitter itu turut memaparkan lebih 14 juta dos vaksin akan dibekalkan di seluruh negara pada Julai ini.
Sarawak akan menjadi negeri kedua menerima bekalan vaksin terbanyak iaitu lebih 2.3 juta diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 1.6 juta. -K! ONLINE