PASIR MAS – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 20 ekor lembu baka Brahman selepas menahan sebuah lori di jalan Kampung Repek di sini semalam.
Ternakan dengan nilai rampasan RM252,000 itu dipercayai untuk dijadikan haiwan sembelihan pada Hari Raya Aidiladha. Lembu-lembu tersebut yang berasal dari India mampu mencapai berat maksimum 800 kilogram (kg) bagi jantan, manakala betina sekitar 500kg.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, anggota PGA telah meminta pemandu lori terbabit untuk mengemukakan dokumen berkaitan permit perjalanan lembu tersebut.
Bagaimanapun, katanya, dokumen yang diberikan oleh lelaki berkenaan agak meragukan kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Siasatan awal mendapati, lembu-lembu tersebut diambil dari kandang di kawasan Tumpat dan akan dihantar ke Selangor.
“Pemandu bersama kelindan lori masing-masing berusia 47 dan 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azahari memberitahu, PGA Batalion 7 akan terus memperketatkan kawalan dalam usaha membendung penyakit lembu Lumpy Skin Disease (LSD) di negeri ini.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.- K! ONLINE