KOTA TINGGI – Kebimbangan seorang isteri selepas suaminya tidak menjawab panggilan telefon membawa kepada penemuan mayat warga emas itu di dalam rumahnya yang berkunci di Kampung Desa Makmur, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, difahamkan isteri mangsa berada di Australia bersama anaknya manakala mangsa dikenali sebagai Yip Kok Ee, 69, tinggal berseorangan di rumah tersebut.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan khidmat khas mengeluarkan mangsa terperangkap di dalam rumah itu pada pukul 1.08 petang sebelum menghantar 13 anggota ke lokasi kejadian.
“Kita dimaklumkan isteri mangsa tidak berjaya menghubungi suaminya itu lalu meminta tolong rakannya melihat keadaan suami di rumah.
“Rakan isteri mangsa datang ke rumah tersebut dan memanggilnya namun tiada respon sebelum ternampak mangsa tertiarap tidak sedarkan diri lalu menghubungi pihak bomba untuk bantuan.
“Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang lelaki berbangsa Cina telah meninggal dunia yang disahkan oleh pegawai perubatan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman berkata, pihak bomba turut memasuki rumah mangsa melalui tingkap rumah yang terbuka ekoran pintunya yang berkunci.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -K! ONLINE