BANDAR RAYA KUWAIT – Seorang lelaki dari Mesir ditahan oleh kerajaan Kuwait selepas memuat naik rakaman mengadu tentang keadaan cuaca buruk di negara itu, lapor akhbar The Independent kelmarin.
Dalam rakaman yang dimuat naik DI laman sosial, lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu ‘membebel’ tentang ribut pasir yang melanda Kuwait sejak beberapa hari lalu.
“Saya berada dalam ribut pasir sangat tebal sekarang, saya tidak dapat melihat apa-apa di depan saya,” kata lelaki itu, menunjukkan debu yang melapisi jalan raya seperti kabut tebal.
“Baiklah, Kuwait, baiklah,” tambahnya dengan nada membentak.
Rakaman video itu menjadi tular di media sosial dan mengundang puluhan ribu tontonan komuniti netizen.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Kuwait dalam satu kenyataan hujung minggu lalu berkata, individu yang bertanggungjawab ke atas kandungan video yang ofensif itu sudah ditahan dan dirujuk kepada pihak berkuasa.
“Tindakan undang-undang yang setara akan dikenakan ke atas individu tersebut mengikut undang-undang negara ini,” tulis kenyataan itu.
Bantahan secara online dilaporkan dilakukan susulan penangkapan lelaki tersebut.
Sejumlah pengguna media sosial turut sama menyiarkan video rungutan berkenaan cuaca buruk di Kuwait. – Agensi