COPENHAGEN – Sepanyol menepati ramalan mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Croatia 5-3 pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Parken sebentar tadi.
Pada aksi yang penuh dramatik itu, kedua-dua pasukan menampilkan permainan cukup menghiburkan serta langsung tidak menunjukkan erti putus asa apabila memaksa perlawanan diheret hingga masa tambahan.
Bagaimanapun, Sepanyol terlebih dahulu ketinggalan 0-1 pada minit ke-20 menerusi gol pelik selepas penjaga gol, Unai Simon gagal menahan hantaran yang dilakukan Pedri sebelum menerjah gawang sendiri.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad La Roja kembali memperkemaskan permainan apabila melancarkan serangan demi serangan dan ia membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Pablo Sarabia ketika separuh masa pertama berbaki tujuh minit.
Bersambung separuh masa kedua, Sepanyol langsung tidak mengendurkan asakan dan mereka menjaringkan gol kedua selepas pemain pertahanan, Cesar Azpilicueta menanduk masuk hantaran Ferran Torres pada minit ke-57.
Croatia seterusnya cuba melakukan asakan demi asakan dalam usaha merapatkan kedudukan, namun tidak berhasil untuk menembusi benteng pertahanan skuad kendalian Luis Enrique itu.
Pada minit ke-77, giliran Ferran Torres pula mencetak nama sebagai penjaring untuk meletakkan Sepanyol 3-1 di depan selepas tenang menyepak masuk bola ke gawang Croatia.
Bagaimanapun, ketika Sepanyol sudah berkira-kira untuk meraikan kemenangan, Croatia melakukan kejutan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit bagi menjadikan kedudukan 3-3, sekali gus mengheret perlawanan hingga masa tambahan.
Sebaik aksi masa tambahan dimulakan, Croatia bermula garang menerusi percubaan Mislav Orsic dan Andrej Kramaric, namun sebaliknya yang berlaku apabila Sepanyol memperoleh gol keempat hasil percubaan voli Alvaro Morata pada minit ke-100.
Tiga minit berselang, juara Piala Dunia 2010 itu meledak lagi, kali ini menerusi Mikel Oyarzabal bagi meletakkan Sepanyol 5-3 di depan, sekali gus selesa mendahului perlawanan.
Meskipun sudah jauh ketinggalan, namun Croatia tetap tidak berputus asa apabila terus melancarkan serangan ke arah pintu gol lawan, bagaimanapun, keputusan itu kekal hingga tamat permainan. – K! ONLINE