SPIELBERG, Austria – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menuntut Mercedes melakukan sesuatu terutama perubahan kepada peningkatan prestasi jentera sekiranya mahu menyekat kemaraan pasukan Red Bull dalam pemburuan gelaran Formula Satu (F1) pada musim ini.
Hamilton sekali lagi berputih mata apabila gagal menyekat kemenangan Red Bull pada Grand Prix (GP) Sytria selepas sekadar menamatkan perlumbaan tempat kedua di belakang Max Verstappen yang mengungguli sepanjang saingan di Litar Red Bull Ring malam kelmarin.
Kemenangan itu memastikan Verstappen terus mengukuhkan cengkaman dengan kelebihan 18 mata di hadapan Hamilton sebagai pendahulu kejuaraan dunia F1 selepas menjulang kemenangan keempat musim ini.
“Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkan mengenai keputusan hari ini. Apa yang boleh saya katakan, mereka lebih pantas daripada kita.
“Tidak banyak yang boleh saya lakukan dalam situasi ini, saya hanya perlu terus mencuba melakukan tugas dengan sebaik mungkin pada setiap perlumbaan.
“Kita perlu mencari dan melakukan sesuatu agar Mercedes kembali di hadapan. Tidak kisah jika perubahan tersebut dilakukan di komponen sayap belakang atau peningkatan enjin dan sebagainya. Namun, kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.
Sebelum ini, Mercedes mengakui pihaknya tiada sebarang perancangan untuk melakukan pembangunan tambahan pada jentera mereka musim ini dan matlamat utama mereka adalah pada musim 2022. – AGENSI