PETALING JAYA – Perkongsian seorang jururawat yang menjelaskan mengapa wanita hamil dinasihati supaya tidak memakai inai atau sebarang pewarna kuku tular di laman Facebook sejak semalam.
Pemilik akaun Facebook bernama Bel Nawhen atau nama sebenarnya Nur Nabiila Masfuzah Abdullah berkata, warna kuku yang pelbagai akan menyukarkan perawat untuk melihat kadar kekurangan oksigen melalui pemerhatian kuku seseorang individu.
“Kalau sudah pakai inai jangan tambah lagi inai sebelum melahirkan bayi. Tetapi kalau sudah terpakai kita tidak boleh buat apa-apa.
“Kalau pakai pewarna kuku, memang kita pesan suruh cuci atau tanggalkan pewarna kuku,” tulis Nur Nabiila.
Perkongsian itu mendapat lebih 200 komen dan dikongsi lebih 800 kali dengan segelintir netizen berpendapat golongan ibu muda pada masa kini dilihat gemar memakai inai dan kurang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.
“Kuku tak apa kan, tetapi yang ukir-ukir (inai) jururawat tegur sebab susah hendak suntik jarum takut tidak nampak,” soal Kiela Shqla.
“Ukir ke kuku ke kalau boleh elak, elak kerana untuk ukir susah hendak suntik jarum kalau tiba-tiba perlu jalani pembedahan Caesarean,” balas Nur Nabiila.
“Emak emak muda sekarang ramai ratu TikTok dan Instagram. Jual inai celup,” komen seorang pengguna media sosial tersebut.
“Saya setuju sangat-sangat apa yang misi Bel beritahu. Macam mereka yang memiliki tekanan darah rendah memang pantang pakai inai semasa mengandung. Jadi kalau nak melaram tunggu lepas bayi keluar ya,” ulas Ruzana.
“Teringat lepas bersalin tiga tahun lepas. Jururawat tanya ada rasa nak pitam tak? Saya pula rasa tubuh bergoyang dengan tiada selera makan. Terus jururawat periksa kuku,” komen Hajar Yahaya. – K! ONLINE