PETALING JAYA – Biarpun terikat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) sejak 1 Jun lalu, penyanyi Ara Johari tetap tidak melepaskan peluang meraikan hari jadinya yang ke-24 semalam bersama peminat secara virtual.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagramnya, Ara yang kini tampil dengan single terbaharu berjudul Tetap Aku Cinta itu berkongsi momen indah bersama peminat ketika meraikan ulang tahun kelahirannya.
“Hadiah paling menarik! Walaupun lockdown, ada sahaja perancangan oleh @arasquadrasmi (kelab peminatnya) untuk memberi kejutan kepada saya.
“Terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan kepada saya sejak dahulu sampai sekarang. Saya sayang anda semua,” katanya.
Meskipun disambut secara sederhana, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 24, tetap berasa gembira lebih-lebih lagi majlis hari jadinya disambut dalam suasana berbeza.
“Terima kasih semua yang mendoakan saya. Harap perkara yang baik terjadi pada kita semua pada masa akan datang. Jaga diri,” tulisnya.
Meninjau dalam ruangan komen, ramai peminatnya menitipkan ucapan selamat hari lahir kepadanya selain turut mendoakan segala urusan penyanyi kesayangan mereka itu dipermudahkan. -K! ONLINE