PETALING JAYA – Enam lelaki warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah pejabat di Kuchai Enterpreneurs Park di Brickfields semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya berjaya menangkap seorang lelaki berdasarkan rakaman analisis televisyen litar tertutup (CCTV) kes itu pada pukul 7 malam.
“Kita menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dalam keadaan mencurigakan berdekatan pondok pengawal di sebuah kondominium sekitar kawasan Kuchai Enterpreneurs Park,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuar berkata, lelaki itu kemudian telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di dalam kondominium berkenaan.
“Kita mendapati lima lelaki berusia 25 hingga 37 tahun sedang berada di ruang tamu rumah berkenaan. Siasatan awal, mendapati empat daripada lima lelaki itu mengaku telah melakukan kes pecah pejabat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah.
“Kita turut merampas telefon bimbit pelbagai jenama dan satu bil elektrik bertarikh 18 Jun,” katanya.
Anuar berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya. – K! ONLINE.