RAUB – Pejabat Hutan Daerah Raub memusnahkan kira-kira 350 batang pokok durian Musang King berusia enam hingga tiga tahun yang ditanam secara haram di Kompartmen 48, Hutan Simpan Klau di sini.
Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, dalam operasi bermula pukul 9 pagi semalam itu pihaknya turut menebang pelbagai jenis pokok seperti pisang, nangka, cempedak dan petai yang ditanam di tanah seluas lebih 12 hektar itu.
“Ketika operasi dijalankan pihak kami tidak menemui individu dalam kawasan ladang berkenaan yang dipercayai terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan.
“Operasi pemusnahan ladang haram yang bermula semalam dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari,” katanya yang turut menyertai operasi berkenaan, semalam.
Menurutnya, operasi tersebut disertai 30 kakitangan jabatan hutan yang terdiri daripada Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan Unit Penguatkuasa (UPK) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di bawah pengawasan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
Katanya, selain memusnahkan pokok yang ditanam, pihaknya turut bertindak merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara yang dipercayai menjadi tempat tinggal individu dan pekerja ladang berkenaan.
“Usaha memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram itu mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 4,000 pokok pisang dan durian Musang King bersaiz kecil,”katanya.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka dibawah Akta Perhutanan Negara 1984.
“Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya yang sebelum ini mengadakan operasi musnah sebanyak 3,500 pokok durian Musang King di HS Sempam, Mukim Tras, di sini.-K! ONLINE