PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan seramai 3.7 juta daripada 12.4 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak memohon i-Citra mempunyai simpanan bawah RM5,000.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi mereka yang memiliki baki simpanan bawah RM5,000, mereka boleh memohon i-Citra dan membuat pengeluaran tertakluk kepada baki simpanan.
Beliau berkata, sejumlah 12.4 juta pencarum KWSP layak memohon inisiatif i-Citra dengan 8.7 juta daripada memiliki dana mencukupi melebihi RM5,000 manakala selebihnya mempunyai baki kurang dari RM5,000.
“Saya percaya inisiatif i-Citra ini sedikit sebanyak dapat membantu pencarum yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) secara dalam talian hari ini.
Katanya, beliau juga ingin menjelaskan bahawa inisiatif i-Citra tidak akan membatalkan baki bayaran yang akan dibuat menerusi inisiatif i-Sinar sebelum ini.
Tengku Zafrul berkata, baki bantuan i-Sinar akan diteruskan dengan dikreditkan kepada pencarum yang diluluskan.
“Pada masa sama, pencarum KWSP juga ditawarkan satu lagi pilihan bantuan lain iaitu i-Citra untuk meringankan beban,” katanya.
Katanya, beliau akui caruman KWSP adalah bagi memastikan kehidupan yang baik apabila bersara kelak.
Namun, jelasnya, dengan keadaan ramai yang terjejas, kerajaan percaya inisiatif i-Citra pasti sedikit sebanyak akan mengurangkan beban yang dihadapi pencarum. -K! ONLINE