JAKARTA – Sebuah warung makanan di Tasikmalaya, Jawa Barat menjadi tumpuan warga tempatan apabila menghidangkan juadah nasi ayam dengan harga serendah 5,000 rupiah (RM1.43) sepinggan, lapor Suara.com.
Selain nasi ayam, Warung Rakyat kendalian Asep Cemi turut mempunyai beberapa hidangan lain seperti nasi telur dengan harga serupa dan nasi sayur lodeh berharga 2,500 rupiah (70 sen).
Menurut Asep, sejak pandemik Covid-19 melanda hampir dua tahun lalu, dia sudah melupakan niat mengaut untung apabila berniaga dan hanya mahu bersedekah serta membantu golongan memerlukan.
“Saya memilih menjual nasi bersama lauk yang sering dimakan orang ramai seperti ayam, telur dan sayur lodeh kerana ia hidangan ruji warga tempatan.
“Harga yang saya tetapkan memang tidak bawa keuntungan tetapi saya anggap yang rugi itu sebagai pahala sedekah,” jelasnya.
Tambah Asep, walaupun hasil jualan tidak begitu memberangsangkan namun dia bersyukur kerana masih mampu membayar gaji pekerja Warung Rakyat.
“Ada yang sangsi mahu makan di warung ini kerana harga terlalu murah. Mereka ingat saya gunakan ayam lama namun saya terangkan, niat saya bersedekah itu ikhlas,” ujar Asep.
Warung Asep dibuka setiap hari pada pukul lapan pagi hingga enam petang di RS TMC Kota Tasikmalaya. – Agensi