PETALING JAYA – Kecewa dengan situasi semasa negara yang semakin meruncing ketika ini, pelakon dan usahawan Aeril Zafrel menegur sikap tanggungjawab segelintir pemimpin negara.
Menerusi hantaran Instagram, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 33, mengeluarkan kenyataan seperti mengingatkan bahawa tugas para pemimpin akan disoal pada hari akhirat.
“Wahai ketua atau pemimpin negara. Apa yang anda lakukan hari ini, jika baik atau pun tidak, akan anda dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak.
“Sudah sediakah anda menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir dalam alam kubur nanti?” tulisnya dalam entri tersebut.
Tambah pelakon filem Sabda Kekasih itu, perkara tersebut juga merupakan peringatan buat dirinya.
“Peringatan untuk diri sendiri, tolong ‘tag’ ketua atau pemimpin,” tulis suami kepada pelakon Wawa Zainal itu.
Meninjau ruangan komen, terdapat juga golongan selebriti yang turut bersetuju dengan pendapat Aeril.
“Tidak ada mood nak tag insan-insan agung itu,” komen aktor Nazim Othman.
“Adakah mereka kisah sekiranya kita tag? Kes bunuh diri makin tinggi. Rakyat malaysia sengsara sampai tahap nak ambil nyawa sendiri,” tulis pelakon, Sharifah Husna.
Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Antara yang diumumkan ialah pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra dan moratorium pinjaman balik selama enam bulan. – K! ONLINE