ASSEN – Pelumba Sepanyol, Maverick Vinales menafikan dia akan menyertai pasukan Aprilia pada musim depan selepas bertekad untuk meninggalkan pasukan Monster Energy Yamaha apabila berakhir perlumbaan musim ini.
Pelumba berusia 26 tahun tersebut dikaitkan menerima tawaran terbuka untuk menjadi rakan sepasukan Aleix Espargaro pada tahun depan. Bagaimanapun, Vinales masih terikat kontrak dengan Yamaha sehingga 2022.
Bagaimanapun, Vinales mengakui dia belum memberi sebarang kata putus atau telah menandatangani perjanjian dengan Aprilia.
“Apa yang saya boleh katakan khabar angin mendakwa saya sudah bersetuju untuk menyertai Aprilia adalah tidak benar. Sekarang saya ingin menikmati cuti musim panas dan kita akan lihat apa yang berlaku selepas ini.
“Sudah tentu itu adalah pilihan (meninggalkan Yamaha) dan saya telah memikirkan sejak awal musim lagi. Keadaan ini disebabkan saya gagal mempamerkan potensi terbaik bersama Yamaha.
“Buat masa ini saya tidak dapat menerangkan lebih lanjut,” katanya.
Vinales dikatakan kecewa terhadap layanan pasukannya semenjak kehadiran Fabio Quartararo yang tampil cemerlang dengan menghuni tangga teratas apabila meraih empat kemenangan dalam kategori perdana musim ini.
Akibat masalah dalaman itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia, Massimo Rivola mengakui berminat untuk mendapatkan Vinales tetapi dengan syarat pelumba Sepanyol itu seharusnya tidak terikat kontrak.
Buat masa ini, Aprllia masih mencari pelumba keduanya selepas mengesahkan Espargaro kekal bersama mereka pada tahun depan. – AGENSI