PETALING JAYA – Kerajaan hari ini telah bersetuju membelanjakan RM493 juta agar tidak berlaku kenaikan tarif elektrik dan mengekalkan rebat 2.00 sen/kWj sehingga hujung tahun ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kos tersebut adalah melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj.
Beliau berkata, kerajaan terpaksa menampung dana tersebut bagi mengekalkan rebet yang dinikmati oleh semua pengguna Tenaga Nasional Berhad sekarang iaitu 2.00 sen/kWj.
“Bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021, kos Imbalance Cost Pass Through (ICPT) yang perlu diselaraskan adalah berjumlah RM638.98 juta dan ini bermakna bahawa kadar rebat elektrik yang boleh dilepaskan kepada pengguna ialah sebanyak 1.13 berbanding ketika ini 2.00sen/kWj.
“Justeru, kerajaan telah bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj yang melibatkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana KWIE,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, peningkatan kos ICPT berlaku berikutan peningkatan kos pembekalan gas dan arang batu bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.-K! ONLINE