JOHOR BAHRU – Seorang penuntut universiti awam tempatan membuat keputusan tepat menangguhkan pelajaran dalam bidang seni bagi menjaga ibunya yang sakit tenat sehingga wanita itu menghembuskan nafas terakhirnya, Khamis lalu.
Muhammad Aqib Mohd. Nor Hafiz , 19, berkata, dia membuat keputusan sukar tersebut setelah ibunya, Suhana Abd Wahed, 43, yang menghidap penyakit buah pinggang dan diabetes didakwa ditinggalkan bapa tirinya dalam keadaan kesihatan makin memburuk.
Katanya, mereka sekeluarga yang tidak ada hala tuju itu menumpang di rumah bapa saudaranya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Kempas dekat sini sejak April lalu bersama nenek, Supiah Salleh, 68, dua lagi adiknya termasuk seorang adik tiri.
“Sebagai anak sulung, saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian bagi menjaga emak yang sedang sakit tenat secara rela hati.
“Tahap kesihatan mak semakin menjadi-jadi dan disebabkan diabetes, keadaan kaki semakin memburuk dan perlu jalani pembedahan. Melihatkan keadaannya, saya fikir itulah sahaja masa yang saya ada untuk menjaga dan berbakti kepadanya.
“Saya dan mak masing-masing ada menghubungi bapa tiri untuk memberitahu perkembangan kesihatan mak, namun tiada maklum balas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Kempas, hari ini.
Terdahulu nasib pelajar itu mendapati perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang turun melawatnya.
Dalam lawatan itu, Osman turut meminta wakil Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Johor memikirkan bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga tersebut. -K! ONLINE