Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak gentar untuk berdepan dengan juara tiga kali, Pohang Steelers bagi aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini.
Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, keyakinan menggunung itu hadir setelah pasukannya berjaya mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan ACL 2021 ketika menentang Ratchaburi FC, Jumaat lalu.
Katanya, walaupun menang tipis 1-0, ia memberikan suntikan semangat kepada skuad Harimau Selatan yang terus dahagakan kemenangan bagi meraih kedudukan selesa dalam Kumpulan G.
“Kemenangan dalam perlawanan lalu memberikan kami tonik untuk terus berusaha lebih keras bagi meneruskan perjuangan dalam saingan ACL.
“Tidak dinafikan Pohang adalah pasukan yang hebat dan kami tahu sejauh mana kemampuan mereka, namun status mereka itu tidak menggerunkan kami.
“Kami juga akan meningkatkan tahap permainan bagi menyaingi mereka dan menunjukkan kesungguhan kelab ini,” katanya semalam.
Mora memberi bayangan bahawa akan membuat beberapa pertukaran baik dari segi kesebelasan utama ataupun strategi permainan bagi berdepan kelab Korea Selatan itu.
“Mungkin kita akan membuat beberapa pertukaran bergantung kepada keadaan pemain terlebih dahulu. Apa yang pasti, kami akan memberikan aksi terbaik untuk mengintai kemenangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Leandro Velazquez berkata, beliau tidak sabar untuk terus merobek kubu lawan setelah berjaya memahatkan nama sebagai penjaring JDT dalam kejohanan antarabangsa itu.
“Menjaringkan gol bagi membantu pasukan di pentas antarabangsa ini pastinya akan menjadi memori indah buat saya. Saya bertekad untuk terus memburu gol penting buat pasukan,” ujarnya.