COPENHAGEN – Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique dilaporkan telah mengarahkan para pemainnya melakukan latihan tambahan sepakan penalti menjelang pusingan 16 terbaik Euro 2020 menentang Croatia di Stadium Parken awal pagi esok.
Ia susulan kegagalan skuad Gerard Moreno serta Alvaro Morata menyempurnakan dua sepakan penalti mereka ketika menentang Poland dan Slovakia dalam aksi Kumpulan F baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Enrique, 51, turut dilihat bimbang dengan prestasi semasa tiga penjaga golnya, Unai Simon, David De Gea dan Robert Sanchez berhadapan situasi tersebut itu ketika bersama kelab masing-masing.
Bekas pengendali Barcelona itu menyedari aksi bertemu Croatia mampu berlarutan hingga ke penentuan sepakan penalti apatah lagi selepas mereka tewas 2-3 sewaktu pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan pada November 2018.
“Croatia bukan lawan yang mudah kerana mereka mempunyai ramai pemain hebat. Kami pernah tewas kepada mereka sewaktu saingan Liga Negara-Negara Eropah tiga tahun lalu.
“Jadi, saya menjangkakan ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar lebih-lebih lagi apabila sudah sampai ke tahap ini (pusingan 16 terbaik),” katanya.
Dalam masa sama, aksi itu juga dilihat sebagai pertarungan menebus maruah buat Morata selepas menerima kecaman hebat daripada para penyokong fanatik Sepanyol yang turut menyasarkan isteri dan anaknya di tempat awam.
Ia gara-gara prestasi mengecewakan Morata yang hanya mampu menjaringkan satu gol dalam tiga aksi Kumpulan F meskipun Sepanyol tetap mara ke pusingan 16 terbaik sebagai naib juara di belakang Slovakia.
“Mereka mengancam keluarga saya dengan berkata ‘saya harap anak kamu mati’. Anak dan isteri saya menjadi kecaman penyokong di stadium di Seville kerana mereka memakai jersi tertera nama saya.
“Saya juga terpaksa meninggalkan telefon di luar bilik saya kerana terlalu banyak mesej berbaur kecaman dan penghinaan diterima dalam media sosial.
“Saya amat memahami perasaan penyokong selepas saya kerap mensia-siakan peluang tetapi ada hadnya. Namun, saya tetap yakin untuk mengambil sepakan penalti lagi selepas ini sekiranya diberikan peluang,” jelasnya. – AGENSI