KOTA BHARU – Sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini tidak menerima pesakit Covid-19 menjelang Hari Raya Aidiladha pada bulan depan.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd. Zurairie Mohd. Zubir berkata, PKRC itu adalah Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas kini diletakkan dalam status siap sedia atau ‘standby mode’.
Katanya, PKRC itu tidak akan menerima lagi pesakit selepas melihat jangkitan Covid-19 di Kelantan semakin menurun sejak kebelakangan ini.
“Buat masa ini, kita masih mengekalkan PKRC berkenaan bagi sebarang kemungkinan yang akan berlaku terutamanya sekiranya berlaku semula peningkatan kes.
“Jangkitan di negeri ini masih terkawal. Sekiranya berlaku peningkatan, kita masih boleh menangani kes-kes pesakit Covid-19 dengan menempatkan mereka di 10 buah PKRC sedia ada di Kelantan,” katanya. -K! ONLINE