BEBERAPA remaja dilihat beratur di hadapan sebuah gerai yang tergantung kain rentang bertulis ‘Pulut & Kopi’ di Jalan Anggerik Perdana 1, Kajang, Selangor.
Dari jauh, dua orang gadis dilihat tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.
Sejak enam bulan lalu, itu merupakan antara aktiviti dilakukan dua sahabat, Nor Fazrina Fazrin Hassan, 28, dan Iffah Irdina, 27, selepas mereka mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.
Mereka mempertaruhkan menu unik dan istimewa yang tidak pernah dijual oleh peniaga lain iaitu pulut kuning dan kopi.
Ekoran itu, tidak hairanlah gerai berkenaan tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan yang mahu menikmati juadah tersebut sehingga ia tular di laman sosial baru-baru ini.
Menurut Nor Fazrina Fazrin yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Seni Visual dan Media Baharu daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini, pada awalnya perniagaan tersebut dijalankan di kediaman mereka.
Katanya, pada waktu itu dia dan Iffah Irdina membuat perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah.
Bagaimanapun, selepas tiga bulan beroperasi, ujarnya, mereka mengambil keputusan untuk membuka gerai di lokasi sekarang.
“Idea ini tercetus kerana kami mahu mengetengahkan konsep kopi jalanan yang sangat popular di Jepun. Kami mahu menghasilkan kopi berkualiti premium dan mudah diakses semua orang.
“Bagi pulut pula, seperti yang kita tahu, ia hanya boleh didapati di majlis-majlis keramaian sahaja. Begitupun kombinasi pulut dan kopi sememangnya popular dalam kalangan orang-orang dahulu.
“Menerusi perniagaan ini, kami berharap menu ini bukan sahaja mampu diterima orang ramai pada bila-bila masa, tetapi mengembalikan nostalgia zaman dahulu,” ujarnya.
Biarpun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang barista, namun kecenderungan kedua-dua gadis ini yang suka ‘memburu’ kopi di kafe-kafe ternama banyak membantu mereka dalam menjalankan perniagaan itu.’
Bagi melengkapkan lagi ilmu bancuhan kopi, mereka mengambil inisiatif berguru dengan barista-barista yang berpengalaman.
“Kami belajar dengan bertanya kepada mereka (barista) yang arif dalam bidang ini.
“Selain itu, kami turut membuat kajian mendalam lebih setahun bagi memantapkan lagi persiapan sebelum memulakan bisnes,” ujarnya.
Untuk penghasilan kopi mereka bergurukan barista berpengalaman, bagi penyediaan jualan pulut pula, mereka banyak dibantu oleh ibu masing-masing.
Menariknya, pulut yang dihasilkan itu turut dijual dengan padanan aneka lauk mengikut cita rasa pilihan pelanggan seperti rendang daging hitam, rendang ayam kuning dan sambal bilis petai.
Biarpun ramai mengakui keenakan kopi dan pulut yang dijual, namun makanan tersebut dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM3.50 hingga RM7 sahaja.
Ini kerana, kedua-dua gadis ini mahu menyediakan makanan dan minuman premium kepada orang ramai.
Sibuk dengan tanggungjawab sebagai peniaga sejak dua tahun lalu, namun Nor Fazrina Fazrin dan Iffah Irdina tidak pernah mengabaikan pelajaran.
“Pada sebelah pagi kami mula berniaga sehingga lewat petang. Kemudian sebelah malam pula, kami akan menghadiri sesi kelas selama tiga jam.
“Selepas itu, kami bangun awal bagi menyediakan bahan-bahan untuk berniaga,” katanya.
Bermodalkan RM2,000 hasil wang tabungan mereka sendiri, kedua-dua gadis ini berhasrat untuk membuka kafe mereka sendiri pada masa akan datang.
“Buat masa sekarang, kami hanya mahu fokus pada perniagaan ini dan pelajaran.
“Insya-Allah, jika ada rezeki nanti, kami ingin membuka sebuah kafe berkonsepkan minimalis sesuai dengan konsep yang kami buat sekarang,” katanya.