ISKANDAR PUTERI – Hanya kerana berang ditegur rakan serumah untuk memperlahankan suara, seorang lelaki berusia 23 tahun bertindak menetak rakannya dengan menggunakan parang sebanyak tiga kali di bahagian kepalanya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu berlaku di Taman Nusa Bestari, di sini semalam.
Katanya, pihaknya menerima laporan berlalu pergaduhan melibatkan dua lelaki berkenaan pukul 5.15 petang.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak mahu menerima teguran mangsa untuk memperlahankan nada suara semasa bercakap kerana mangsa sedang berbual melalui telefon dalam biliknya.
“Apabila mangsa keluar dari bilik tersebut, suspek mendekati mangsa dan mengeluarkan parang dari dalam seluar lalu terus menetak mangsa di bahagian kepala sebanyak tiga kali.
“Ketika anggota polis tiba di lokasi, mangsa didapati telah berlumuran darah ekoran insiden yang berlaku di tingkat tiga rumah kediaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. -K! ONLINE