RAUT wajah gadis berusia 25 tahun itu kelihatan cukup ayu dan lembut. Tutur katanya juga sangat sopan apabila menjawab setiap soalan yang diajukan penulis.
Namun, siapa sangka, pemilik nama Ainur Rasyidah Kamaruthin itu merupakan seorang yang aktif dalam arena sukan termasuk balapan dan bola jaring sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Gadis berasal dari Ampang, Selangor itu juga berjaya mewakili Universiti Malaya (UM) menyertai pertandingan terbuka anjuran beberapa institusi pengajian tinggi tempatan.
Di samping itu, dia turut aktif dalam permainan sofbol yang mana sukan itu secara tidak langsung dapat membantunya mengamal gaya hidup aktif, selain bersosial bersama rakan-rakan di kampus.
“Saya mula bermain sofbol sejak semester pertama. Sebelum itu saya hanya aktif berlari dan bermain bola jaring. Penglibatan dalam sofbol membolehkan saya diterima mewakili UM.
“Saya telah menyertai beberapa pertandingan sofbol peringkat universiti. Meskipun gagal membawa balik sebarang kejayaan, namun ia satu pengalaman cukup berharga,” ujarnya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Ainur Rasyidah turut memaklumkan, dia merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti kelab dan persatuan peringkat universiti selepas menyertai Sekretariat Sukarelawan UM (Sekrum).
Ujarnya, penyertaan dalam kelab berkenaan membolehkannya menyertai pelbagai aktiviti kesukarelawanan sama ada di dalam mahupun luar kampus seperti program pembersihan Hutan Simpan Endau Rompin, Pahang beberapa tahun lalu.
Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu menambah, penyertaan dalam Sekrum juga membuka peluang kepadanya untuk menjadi salah seorang sukarelawan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Jelasnya, banyak ilmu dan pengalaman berjaya ‘ditimba’ menerusi penyertaan dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan sepanjang empat tahun menuntut di UM.
“Ketika menjadi sukarelawan di Sukan SEA, saya ditugaskan di bahagian komunikasi. Saya juga berpeluang terlibat dalam upacara pembukaan temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.
“Ia satu pengalaman yang sukar diperoleh sekiranya tidak menyertai aktiviti kesukarelawanan. Aktiviti itu banyak mengajar saya menjadi ketua yang baik, selain memupuk semangat berpasukan dalam menjayakan sesuatu,” ujarnya.
Aktiviti kelab
Meskipun sibuk dengan program di dalam dan luar kampus, namun pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bahasa Itali di Fakulti Bahasa dan Linguistik itu tidak pernah mengabaikan pelajaran.
Tegas Ainur Rasyidah, dia sentiasa mengutamakan pelajaran berbanding perkara lain dengan menghadiri setiap sesi kuliah serta menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan pensyarah.
“Pada waktu siang, masa saya dihabiskan dengan mengikuti kuliah. Pada sebelah malam, saya banyak terlibat dengan aktiviti kelab dan persatuan seperti mesyuarat serta perbincangan. Pada hujung minggu pula, jadual saya padat dengan latihan sofbol dari pagi hingga petang.
“Prinsip utama saya, jangan menangguh setiap tugasan diberikan pensyarah. Apabila dapat tugasan, sebolehnya saya akan buat secepat mungkin dan tidak menangguhnya sehingga tarikh akhir,” ujarnya.
Mengulas mengenai sesi pembelajaran secara online, Ainur Rasyidah berkata, dia berasa kekurangan apabila tidak dapat bersua muka dengan rakan-rakan serta pensyarah.
Jelasnya, dia berharap pandemik Covid-19 segera berakhir bagi membolehkannya mengikuti sesi pembelajaran bersemuka dan menjalani kehidupan normal seperti dua tahun sebelum ini.
“Apabila seorang yang aktif diminta berkurung dalam bilik dan menjalani kelas secara online, saya berasa sangat sukar dan terkesan. Namun, saya perlu bersabar ketika ini dalam usaha membanteras pandemik,” ujarnya.
Bakal menamatkan pengajian pada akhir tahun ini, dia mengambil keputusan untuk berehat selama sebulan di rumah untuk menenangkan fikiran sebelum memikirkan mengenai cabang kerjaya pilihannya.
Jelasnya, dia tidak kisah untuk mencuba bidang pekerjaan lain daripada kursus diambil, selagi boleh memanfaatkan kelebihan menguasai bahasa Itali dalam lapangan pekerjaan tersebut.
“Saya boleh menguasai bahasa Itali dengan sangat baik. Jadi, rugi sekiranya tidak menggunakan kelebihan itu dalam bidang pekerjaan selepas ini,” jelasnya.