KUALA LUMPUR – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM400,000 dalam beberapa siri operasi yang dilaksanakan dalam tempoh 14 Jun hingga 24 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam operasi itu polis berjaya menangkap seramai 41 individu kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan pengedaran dadah sekaligus menumpaskan sindiket pengederan dadah di kawasan Lembah Klang dan Selangor.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 37 orang lelaki dan empat orang wanita berusia antara 19 tahun hingga 55 tahun.
“Polis juga telah menahan dua orang lelaki berusia 28 dan 41 tahun di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1952 kerana merupakan dalang dalam kegiatan pengedaran dan pembekalan dadah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.
Bertindak atas maklumat katanya, dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan Selangor.
“Polis telah menahan seorang lelaki di hadapan sebuah dobi, Taman Batu Muda, di sini pada 24 Jun lalu dan hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 48 tahun itu, polis telah merampas 10 ketulan mampat dadah jenis Kanabis (9,940 gram) di dalam bakul motosikal suspek terbabit.
“Suspek tersebut kemudian membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Taman Batu Muda, Jinjang untuk menahan rakan suspek, seorang lelaki berusia 43 tahun,” jelasnya
Eng Lai berkata, kedua-dua suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah kereta di tepi jalan berhampiran dengan hentian bas Taman Muda dan hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menjumpai 26 ketulan mampat dadah jenis Kanabis (25,700 gram) di tempat duduk belakang kereta tersebut.
Katanya ujian saringan awal polis ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) serta mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 Jun hingga 1 Julai nanti dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – K! ONLINE