fbpx

K2

Belajar guna platform khas rahsia cemerlang SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYABIL mendapat keputusan 8A+ dan 1A dalam peperiksaan SPM selepas mengikuti platform TheSPMnetic selain pengajaran guru di sekolah.

KETIKA negara berdepan pandemik Covid-19, kerajaan mengambil tindakan drastik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu.

Langkah yang diambil bagi memutuskan rantaian Covid-19 dalam masyarakat itu menyebabkan banyak sektor ditutup termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan.

Bagi pendidikan, pelajar sekolah yang tinggal di asrama diarahkan pulang ke rumah, manakala sesi persekolahan fizikal terpaksa ditangguhkan lebih empat bulan.

Bagaimanapun, sesi pelajaran tetap diteruskan menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi masa kini.

Meskipun terpaksa melaksanakan PdPR, namun ia bukan penghalang kepada Syabil Ilham Syah Syarul Fithri, 18, untuk meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka itu mendapat keputusan 8A+ dan 1A, sekali gus menjadi antara pelajar cemerlang di sekolah berkenaan.

Keputusan cemerlang diperoleh Syabil Ilham Syah atau lebih mesra disapa Syabil itu banyak dibantu oleh organisasi TheSPMnetic menerusi laman perkongsian Telegram.

Menariknya, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu merupakan Timbalan Presiden TheSPMnetic yang ditubuhkan pada tahun lalu bersama beberapa pelajar SPM.

Ikuti sesi temu bual iGen bersama Syabil bagi mengulas mengenai fungsi TheSPMnetic dalam membantu pelajar yang bakal menduduki SPM pada tahun ini meraih keputusan cemerlang.

1. Apakah yang dimaksudkan platform TheSPMnetic dan matlamat penubuhannya?

SYABIL: TheSPMnetic merupakan satu platform yang ditubuhkan pada tahun lalu dalam aplikasi Telegram sebelum beralih ke beberapa laman sosial lain seperti Twitter.

Sehingga kini, platform ini mempunyai lebih 200,000 pengikut dalam Telegram dan 11,000 (Twitter).
Matlamat platform ini untuk membantu memudahkan pelajar mengulang kaji pelajaran di rumah bersama rakan-rakan lain yang bakal mengambil SPM.

2. Apakah yang ditawarkan oleh platform TheSPMnetic kepada para pengikutnya?

Platform ini menawarkan pelbagai bahan pembelajaran, terutamanya dalam bentuk nota merangkumi semua subjek SPM.

Kami turut mengadakan kelas secara online oleh fasilitator dilantik yang terdiri daripada para pelajar dan guru.

TheSPMnetic turut menawarkan sesi latihan secara virtual kepada pelajar.
Biasanya, kalau ada sesi kelas subjek popular seperti matematik, pelajar yang mengikutinya boleh mencecah lebih 200 orang.

THESPMNETIC, platform khusus pembelajaran online menawarkan kemudahan kepada pelajar mengulang kaji yang dibantu fasilitator berpengalaman.

3. Apakah kelebihan belajar dan mengulang kaji pelajaran melalui TheSPMnetic?

Kita semua sedar, sesi pembelajaran normal tidak dapat dilakukan pada masa ini.
Menerusi platform ini, ia sedikit sebanyak membantu menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan meskipun berkurung dalam rumah.

Para pelajar boleh mengulang kaji bersama rakan-rakan seperjuangan sambil bertukar-tukar pengetahuan seperti dalam kelas sebenar.

4.Sejauh manakah TheSPMnetic membantu saudara meraih keputusan cemerlang dalam SPM?

Sebelum menyertai platform ini, keputusan beberapa subjek saya tidak begitu cemerlang.

Disebabkan pandemik Covid-19 dan sesi pembelajaran diadakan secara online, saya mula bimbang sekiranya ia boleh menjejaskan keputusan SPM.

Selepas menyerai TheSPMnetic, ternyata saya dapat meningkatkan prestasi dalam beberapa subjek yang dianggap lemah sebelum ini.

Lagipun, sesi PdPR yang diberikan guru tidak mencukupi dan perlu ada platform tambahan untuk mengulang kaji pelajaran.

PLATFORM TheSPMnetic menjadikan sesi pembelajaran bersama rakan-rakan lebih menyeronokkan.

5.Apakah nasihat kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dalam situasi pandemik Covid-19?

Saya ingin menasihati pelajar yang bakal mengambil SPM tahun ini supaya cepat menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran baharu secara dalam talian.

Jangan sesekali menjadikan pandemik alasan untuk tidak meraih pencapaian cemerlang dalam SPM.

Kita perlu memaksimumkan kemudahan teknologi pada masa kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI