PONTIAN – Kegiatan licik satu kumpulan penyeludupan manusia yang didalangi lelaki dikenali sebagai Boi yang aktif menjadi pengangkut atau ‘transporter’ tumpas apabila empat ahlinya diberkas dalam Ops Benteng di jalan Kebun Parit Serong, Serkat, di sini pagi semalam.
Dalam serbuan pukul 9.30 pagi yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah ( JSJ ) Bukit Aman itu turut ditahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia.
Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, keempat-empat transporter yang ditahan itu masing-masing berusia 21 hingga 45 tahun, manakala PATI yang diberkas pula terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita dewasa berusia antara 18 hingga 36 tahun.
“Hasil risikan dan maklumat yang diperoleh pasukan PGA telah melakukan tangkapan ke atas ketua sindiket dikenali sebagai Boi bersama tiga lagi konconya dalam Ops Benteng.
“Kegiatan sindiket ini dipercayai aktif melakukan kegiatan penyeludupan migran sama ada untuk keluar atau masuk sejak setahun yang lalu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Diming berkata, siasatan awal mendapati PATI terbabit mengaku baru sahaja diseludup masuk melalui jalan laut ke Kampung Kubor Telok Kerang sebelum dibawa menaiki kenderaan dan ditahan di jalan Kebun Parit Serong, Serkat, di sini. -K! ONLINE