LANGKAWI – Kira-kira 2,000 bekas pemandu teksi, ejen pelancongan dan pekerja kedai tekstil di pulau peranginan ini yang kehilangan kerja sejak tahun lalu terpaksa mengerah kudrat sebagai nelayan untuk menyara keluarga.
Seorang bekas ejen pelancongan, Mohd. Ridzuan Mohd. Taib, 55, berkata, dia dan kira-kira 30 lagi rakannya yang pernah bekerja dalam sektor pelancongan kini mencari rezeki sebagai kru sebuah bot pukat jerut ikan bilis sejak Disember tahun lalu.
Menurutnya, bukan mudah menjadi seorang nelayan kerana mereka tidak mempunyai pengalaman dalam industri itu selain terpaksa bekerja di bawah panas terik matahari.
“Ada antara kami yang sudah berusia 60 tahun ke atas, namun kami tiada pilihan selain berkorban demi mencari rezeki buat keluarga.
“Saya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,300 sebulan dengan menjadi nelayan dan ia sekadar mencukupi untuk membeli barangan keperluan makanan,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Bukit Malut di sini kelmarin.
Seorang bekas pemandu teksi, Anuar Husain, 67, memberitahu, dia juga berasa kekok pada awal penglibatan sebagai nelayan.
“Saya memandu teksi sejak 30 tahun lalu, namun terpaksa menjadi nelayan akibat Covid-19.
“Walaupun keletihan selepas keluar ke laut seawal pukul 5 pagi dan pulang kira-kira pukul 6 petang setiap hari, saya bersyukur kerana dapat terus bekerja bagi menyara keluarga.
“Dua daripada tujuh anak saya juga masih belajar di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Seorang pekerja hotel, Jamaludin Hashim, 47, dia kehilangan kerja selepas hotel terpaksa membuat keputusan untuk mengurangkan staf akibat kekurangan pengunjung.
Katanya, sebelum ini pendapatannya lebih RM3,500 sebulan, namun kini dia hanya mampu meraih RM1,300 sebagai nelayan.