fbpx

Vinales pimpin saingan GP Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VINALES menyambar petak hadapan GP Belanda malam tadi sekali gus meleburkan rekod yang dilakukan oleh Quartararo sebelum itu. – AFP

ASSEN – Pelumba pasukan Mons­ter Energy Yamaha, Mave­rick Vinales kembali membuktikan kemampuan sebenar apabila menyambar petak hadapan pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Belanda di Litar Assen malam tadi.

Pelumba Sepanyol itu bukan sahaja meraih petak pertama tetapi dia juga melakar rekod baharu apabila melakukan catatan masa 1:31.814 saat (s), me­leburkan catatan rakan sepasukan, Fabio Quartararo yang juga dilakukan pada sesi tersebut.

Terdahulu, Quartararo me­madam rekod 1:32.017s miliknya sendiri yang dilakukan pada 2019 menerusi catatan baharu 1:31.922s, namun ketika sesi kelayakan hampir berakhir, Vinales mencipta kejutan meraih catatan terpantas berkenaan.

Keputusan itu pasti memberi kelegaan kepada Vinales memandangkan pada GP Jerman di Litar Sachsenring minggu lepas, dia memulakan saingan di petak terakhir.

“Saya fikir kami sudah lakukan apa yang sepatutnya pada sesi kelayakan hari ini (semalam). Kami berjaya buktikan jentera sangat kompetitif dan pantas.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan catatan masa yang dilakukan. Saya rasa lega dan harap boleh menjejakkan kaki ke podium pada perlumbaan esok (hari ini),” kata Vinales sebaik tamat sesi kelayakan.

Mengiringi Vinales di barisan hadapan pada perlumbaan hari ini adalah Quartararo yang berada di petak kedua, diikuti pelumba Ducati, Francesco Bagnaia.

Sementara itu, pemenang GP Jerman, Marc Marquez yang menunggang jentera Repsol Honda akan memulakan perlumbaan di petak ke-20 selepas terjatuh pada sesi kelayakan pertama.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI