TULSA, OKLAHOMA – Seorang remaja di Amerika Syarikat memecah rekod dunia apabila menangkap seekor ikan paddlefish seberat 74 kilogram(kg) di sebuah tasik dekat bandar Tulsa, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Grant Rader, 18, yang berasal dari negeri Kansas ketika itu sedang memancing bersama bapa dan datuknya. Keluarga tersebut meraikan pencapaian Rader kerana berjaya menamatkan pengajian sekolah tinggi.
Menurut remaja tersebut, meskipun dia menghidap penyakit lemah otot dikenali sebagai Distrofi Otot, ia tidak pernah mengurangkan minatnya terhadap hobi memancing.
“Saya tidak dapat menjelaskan perasaan saya.
“Berpeluang untuk mencipta rekod dunia seperti ini merupakan antara perkara terhebat pernah berlaku kepada diri saya,” katanya kepada stesen televisyen tempatan KWCH.
Sementara itu, Jabatan Pemuliharaan Hidupan Liar Oklahoma mengesahkan bahawa ikan paddlefish yang ditangkap oleh Rader adalah rekod baharu dunia.
Ia mengalahkan rekod sebelum ini yang dipegang oleh seorang lelaki, juga dari Oklahoma. Lelaki tersebut menangkap ikan paddlefish seberat 69 kg. – AGENSI