PETALING JAYA – Sekumpulan warga asing terdiri daripada dua lelaki dan 13 wanita ditahan selepas menyeludup masuk ke negara ini melalui Pantai Sungai Manggis, Banting semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rozasin Ramlan berkata, kesemua warga Indonesia terbabit ditahan kira-kira pukul 6 pagi di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Rhu, Sungai Pelek, Sepang.
“Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Kompeni ‘C’ Batalion 6 PGA. Siasatan awal mendapati kesemua mereka baru mendarat di persisiran Pantai Sungai Manggis dan masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot.
“Anggota polis merampas lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dari warga asing terbabit yang dianggarkan bernilai RM2,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rozasin berkata, warga asing terbabit beserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Pelek untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) baru tiba dari Indonesia masuk ke Malaysia dengan menggunakan jalan laut yang tidak diwartakan.
Menurut beliau, kemasukan PATI diuruskan oleh tekong laut dari Indonesia sebelum berurusan dengan tekong darat di Malaysia selepas mendarat.
Justeru, beliau menyeru anggota masyarakat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat aktiviti kemasukan PATI menggunakan jalan tidak diwartakan.
“Aktiviti penyeludupan PATI ini dilakukan dengan mengaut keuntungan yang tinggi,” katanya. – K! ONLINE